what they did

Sunday, July 31, 2016

Mentaliti

Kadang-kadang aku tak faham perangai manusia yang tak peka dengan alam sekitar ni. 

Contoh mudah, buang sampah dari dalam kereta masa kenderaan tengah bergerak. Selamba je buang sampah depan anak-anak. Siap ajar anak-anak buang sampah kat luar tu yang tak boleh tahan. Tengok kereta, kereta mahal dah. Tapi pemikiran tak semahal harga kereta.

Belum kira yang tak pandai kemas tempat makan atau berkelah kat taman-taman awam.

Ada pulak yang suka panaskan enjin kereta lama-lama sebelum keluar jalan-jalan. Lepas tu, balik dari berjalan nanti sejukkan enjin pulak lama-lama. Sehari pulak tu empat lima kali keluar berjalan. Setiap kali keluar pun nak panaskan enjin kereta.

Yang suka biarkan kipas berpusing tapi takde orang pun yang nak disejukkan. Yang biarkan air paip menitis tak reti nak tutup paip air elok-elok. 

Kalau disebut, banyak lagi sikap takde sivik rakyat Malaysia ni yang aku selalu jumpa. Baik kat bandar, atau kat kampung-kampung.

Alasannya mudah.

"Alah, sikit je. Takde kesan pun."
"Elektrik kerajaan bagi subsidi. Air percuma."
"Kalau semua orang kutip sampah, majlis daerah takde keje."

Come on!

Takkan serendah itu pemikiran kita? Kita mudah dapat, sebab tu kita tak pandai menghargai. Kalau tarif elektrik naik, pandai pulak bising. Kalau pejabat daerah naikkan cukai itu ini, pun pandai jugak komen. Masa suruh jaga sama-sama, tak nak. 

Tak fahamlah. Aku bukan siapa-siapa nak  gubal undang-undang atau cipta mesin yang boleh ubah mentaliti rakyat Malaysia. Tapi aku harap, aku boleh ajak kawan-kawan aku berubah untuk jadi manusia yang lebih bertamadun dan lebih bersivik. Kita hidup kat dunia ni bukan untuk kita je. Ramai lagi makhluk nak pakai bumi ni. Bukan kita tak ditanya nanti kat akhirat apa yang kita buat untuk jaga alam sekitar kita. Kita akan ditanya. Jomlah jaga sama-sama bumi kita ni. 

Saturday, July 30, 2016

Tanam Pandan Part 1

Tengahari tadi, lepas dah penat golek-golek atas tilam (kebetulan badan aku belum berapa kebah dari demam), aku pun bersiap nak ke rumah pakcik aku. Dah janji dengan dia nak datang ambik pokok pandan dari raya hari tu. Baru minggu ni ada kesempatan nak berjalan. 

Lepas dekat tiga empat jam melepak kat rumah pakcik aku tu, dapatlah akhirnya aku sejambak pokok pandan dengan akarnya. Semangatlah aku balik rumah, nak terus tanam niatnya. 

Sampai je rumah, lepas kemas-kemas apa yg patut, aku terus ke belakang rumah. Alahai, kecewanya bila tengok ruang antara longkang dengan pagar kecik sangat. Lepas tu, ada dah pokok hiasan yang tuan rumah tanam awal-awal. Memang tak hiduplah jawapan dia pandan aku nanti. Tak pun, akar dia merebak, pecah simen. 

Makanya, proses menanam pokok pandan aku terbantut. Aku rendamkan je pokok tu kat dalam bekas cat berisi air. Aku harap pokok tu boleh hidup lagi tiga empat hari sebelum aku jumpa pasu nak tanam dia. 


Friday, July 29, 2016

Bergaduh dengan ketam.

Dah masuk hari ketiga aku kejap demam kejap kebah. Main-main je demam ni. Hidung berair je. Asyik sok sek je bunyi. Badan pun kejap ok, kejap bisa-bisa. Aku jenis tak suka makan ubat. Jadi kalau terasa nak demam, aku akan cepat-cepat minum air masak banyak-banyak. Petua pakcik aku. Katanya, panas tu akan keluar lalu air kencing. Aku tak tau teori tu betul ke tidak, tapi aku tetap buat sebab aku takut makan ubat. Hahaha. Tapi, alhamadulillah, setiap kali nak demam dan aku amalkan petua ni, aku biasanya tak jadi demam. Cuma kadar kesembuhan tu tak secepat makan ubatlah. 

Tapi aku bukan nak cerita pasal demam aku. Aku nak cerita pasal ketam. Beberapa hari lepas, Encik Labu bawa balik beberapa ekor ketam nipah dari kampung. Semuanya masih hidup. Dia mintak aku masak ketam. Dia terigin katanya. Masaklah apa pun, janji sedap. 

Mati kutu aku bila dapat permintaan macam tu. Encik Labu ni dari awal aku kenal dia, memang suka mintak aku masak benda yang aku tak pernah masak. Ketam ni, sudahlah aku tak pandai siang, tak pernah siang pun, tengok mak aku siang pun tak pernah sebab kami jarang makan ketam kat rumah. Ini pula, ketam yang masih hidup! 

Mujur Encik Labu sanggup tolong walaupun dia sendiri takde pengalaman membunuh ketam. Berkat tunjuk ajar Cikgu Youtube, kami berdua berkejaran kat laman tepi rumah membunuh ketam-ketam tu. Dua-dua penggeli. Macam-macam peralatan kami guna nak bunuh empat ekor ketam tu. Ish, ish, ish. Belum masuk kisah kejar ketam lagi tu. Hahaha. 

Lepas habis siksa membunuh ketam, siksa menyiang pulak. Sekali lagi tunjuk ajar Cikgu Youtube aku rujuk cara-cara membersihkan ketam nipah. Lepas belek beberapa resipi, aku cuba masak Ketam Masak Butter macam yang dalam video Anis Nabilah. Secara peribadi, selepas menonton beberapa videonya, aku mula menyukai Anis Nabilah. Cara dia memasak, cara penyampaiannya semuanya sempoi. Dan kebanyakan masakan dia menu yang mudah dan bahan-bahan mudah didapati. 

Pagi tadi, baru aku mula memasak ketam-ketam yang aku dah duk bergaduh sejak dua tiga hari lepas dengan badan yang tak berapa nak sihat ni. Hasilnya, alhamdulillah, Encik Labu puji sedap. Lain kali buat lagi macam ni ye. Wah, kembang rasa hidung yang dah sedia kembang ni bila orang puji masakan kita sedap. Hilang terus rasa penat memasak, penat bergaduh dengan ketam tu. Rasa nak bagi je semua ketam tu suruh Encik Labu habiskan. Patutlah orang selalu cakap, kalau depa masak, lepas masak tu rasa kenyang tengok orang makan masakan kita. Sebab ni la. Aku mungkin baru rasa feeling ni sebab baru ni orang puji masakan aku. 😅😅😅

Alamak, lupa snap gambar sebagai bukti. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...